Sejak zamandahulu lagi manusia telah menggunakan bintang sebagai
petunjuk arah. Perkara tersebut ada dijelaskan dalam al-Qur'an dengan
maksud: '
"Dan Dia menciptakan tanda-tanda petunjuk jalan, dan dengan
bintang-bintang inilah mereka mendapat petunjuk...."
(Surah al-Nahl: 16)
Bintang yang sesuai digunakan untuk tujuan penentuan arah utara ialah
Bintang Kutub (Polaris) yang terletak bertepatan dengan paksi putaran bumi.
Keadaan ini menyebabkan bintang-bintang lain secara ketara kelihatan
beredar mengelilinginya.Bagi pemerhati di Malaysia, Bintang Kutub berada
rendah di ufuk sebelah utara. Di negeri-negeri pantai timur seperti, Kelantan
dan Terengganu, Bintang Kutub boleh dilihat berada lebih 5° di atas ufuk.
Bintang Kutub berada dalam buruj Ursa Minor, tetapi lebih mudah dikenali
melalui Buruj Bajalt. Buruj Bajak dikenali juga di kalangan masyarakat
Melayu di utara Semenanjung Malaysia sebagai Buruj Timba dan ada pula
yang menamakannya sebagai Bintang Senduk. Masyarakat Melayu,
mempunyai pemahaman tersendiri tentang perkaitan di antara kedudukan
Buruj Bajak dengan perubahan musim. Pada masa tertentu, apabila bahagian
empat persegi Buruj Bajak yang disifatkan sebagai senduk menghadap ke
atas, akan disifatkan sebagai 'musim yang sukar' iaitu musim kemarau.
Ketika bentuk senduk menghadap ke bawah pula dikatakan menandakan
'murah rezeki' iaitu musim menuai.
Untuk mengetahui kedudukan Bintang Kutub, terlebih dahulu hendaklah kenal dan camkan bentuk Buruj Bajak.
![]() |
Bentuk Buruj Bajak dan Bintang Kutub |
Pada waktu malam di antara bulan Disember sehingga Mei setiap tahun, terdapat satu buruj lain yang menarik di tengah-tengah langit, iaitu Buruj Orion (Al-Babadur/Belantik). Buruj ini mudah dikenali kerana ia mempunyai tiga bintang berderetan di tengah-tengahnya. Ketika Buruj Orion berada di tengah-tengah langit dalam pergerakan hariannya (dikenali sebagai fenomena istiwa buruj) unjuran garisan yang menghubungkan Bintang Rigel dan Bellatrix menunjukkan arah utara. Bintang tiga berderetan dalam Buruj Orion pula digunakan oleh nelayan di Pantai Timur Malaysia sebagai panduan untuk kembali semula ke daratan dan menentukan arah kiblat.
![]() |
Arah utara dengan menggunakan panduan dua bintang dalam Orion |
Di langit selatan pula terdapat buruj yang boleh dijadikan panduan
untuk mengetahui arah selatan dan sesuatu tempat. Buruj ini ialah Buruj
Salib Selatan (Crux), yang dikenali di kalangan nelayan tempatan sebagai
Buruj Pari. Buruj ini akan berada di tengah meridian langit selatan pada
waktu maghrib di antara bulan Mei dan Jun. Arah yang ditunjukkan oleh
garisan yang menyambungkan bintang A dan B ketika tersebut adalah
arah selatan. Unjuran garisan tersebut kearah yang berlawanan untuk
mengetahui arah utara dari sesuatu tempat.
![]() |
Buruj Pari & penentuan arah selatan |